KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Pasukan negara berjaya menambah pungutan pingat emas menerusi Wong Weng Son dalam Kejohanan Wushu Piala Dunia Taolu.
Kejohanan edisi ketiga yang berlangsung di Yokohama, Jepun itu menyaksikan atlet berusia 32 tahun tersebut mempamerkan gerakan kemas untuk mengutip 9.773 mata dalam acara Jianshu lelaki.
Weng Son menewaskan wakil tuan rumah yang mengumpul 9.766 mata diikuti atlet Nepal di tempat ketiga.
Kem Wushu negara turut menambah koleksi pingat menerusi Tan Cheong Min yang meraih perak dalam acara Nanchuan wanita selepas meraih 9.770 mata.
Pingat emas menjadi milik atlet Indonesia dengan pungutan mata 9.773 manakala wakil Hong Kong meraih tempat ketiga.
Sementara itu, Clement Ting Su Wei menamatkan saingan dalam disiplin Gunshu lelaki di tempat keempat manakala Sydney Chin Sy Xuan keenam dalam disiplin Taiji-jian wanita.
Sehari sebelum tamat kejohanan, kontinjen Malaysia telah mengumpul dua emas, dua perak dan dua gangsa.