fb fb fb fb fb

Sukan HAWANA, berpotensi dilaksana dalam skala besar - Fahmi

Foto BERNAMA

AMPANG, 27 Oktober- Penganjuran Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) akan dimasukkan dalam Kalendar HAWANA, mulai tahun depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kejohanan tahunan tersebut akan melibatkan lebih ramai pengamal media dari negeri-negeri lain, selain memperkenal sukan tradisional termasuk permainan karom dan dam aji.

"Sempena program sukan HAWANA, saya amat alu-alukan dan saya lihat ada potensi untuk kita laksanakan dengan skala lebih besar tahun depan.

Ini memandangkan kita ada keterlibatan beberapa kelab media negeri-negeri. Jadi, saya nampak mungkin kita akan berbincang apa yang kita boleh bantu untuk kukuhkan lagi," kata Fahmi kepada pemberita.

Beliau ditemui semasa Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah (9S) dan Bola Jaring Antara Media sempena Sukan Hawana, di Padang Brainy Bunch Melawati, hari ini.

Tambahnya, penganjuran program itu juga baik dalam merapatkan silaturahim dalam kalangan pengamal media tempatan.

Edisi kali ini menyaksikan sebanyak 17 pasukan bola sepak 9S menghangatkan saingan Sukan Hawana 2024 antaranya BERNAMA, RTM, Harian Metro, Utusan Malaysia manakala sembilan penyertaan bagi sukan bola jaring.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin merasmikan Kejohanan kedua-dua perlawanan itu dihadiri Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) BERNAMA, Nasriah Darus.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM