fb fb fb fb fb

Piala Dunia Wanita akan selamat meski terdapat insiden keganasan- CEO Bola Sepak Australia

(Tangkap layar video rakaman penonton di AAMI Park yang menyaksikan penyokong
menyerang penjaga gol Melbourne City / TWITTER)

MELBOURNE, 18 Disember- Ketua Pegawai Eksekutif Bola Sepak Australia James Johnson memberi jaminan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku insiden penjaga gol diserang semasa perlawanan Liga-A, tetapi dalam masa sama menegaskan sukan itu selamat dan tidak timbul kebimbangan mengenai penganjuran bersama Piala Dunia wanita tahun depan.

Perlawanan 'derby' antara Melbourne Victory dan Melbourne City pada Sabtu terpaksa dihentikan selepas adegan huru-hara apabila peminat menyerbu padang di stadium AAMI Park.

Penjaga gol City Tom Glover telah dihempas di mukanya dengan baldi besi yang menyebabkan dia mengalami luka berdarah yang memerlukan jahitan.

Pengadil perlawanan Alex King turut cedera dalam serangan itu.

"Saya benci dan marah dengan adegan yang kami saksikan di AAMI Park malam tadi," kata Johnson pada satu sidang media.

"Kami telah kenal pasti beberapa invidu yang saya anggap mereka bukanlah peminat bola sepak, mereka yang telah menyerang pemain dan pegawai perlawanan.

"Siasatan telah dibuka... kami akan bergerak pantas dan mengambil tindakan paling keras."

Penyokong kedua-dua pihak telah merancang untuk keluar selepas 20 minit perlawanan bermula sebagai protes pada keputusan minggu ini oleh bos liga itu untuk menganugerahkan siri grand final kepada Sydney bagi tiga tahun akan datang.

Tetapi ia bertukar menjadi ganas apabila suar yang dilemparkan dari tempat duduk mendarat berhampiran Glover, yang melemparkan ia kembali ke arah penonton sejurus sebelum padang diserang.

Penjaga gol tersebut dibawa ke hospital dan dilaporkan menerima "banyak jahitan", kata Johnson.

Adegan jelek itu mencetuskan tindak balas tidak senang di media sosial, dengan peminat menyifatkan ia sebagai "hari paling gelap untuk bola sepak di Australia".

Insiden itu berlaku tidak lama selepas Socceroos mara ke peringkat 16 terakhir di Piala Dunia Qatar, yang pada awalnya telah menimbulkan keyakinan untuk masa depan bola sepak Australia.

Australia akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia wanita tahun depan dengan New Zealand dan Johnson menegaskan "bola sepak adalah sangat selamat".

"Kami tahu bahawa sukan ini akan terus berkembang dan berada pada tahap yang paling kukuh menuju ke Piala Dunia wanita pada bulan Julai. Saya tidak bimbang sama sekali tentang menganjurkan Piala Dunia wanita."

Dia menafikan keganasan orang ramai boleh menjejaskan harapan Australia untuk menganjurkan kejohanan besar lain.

"Saya berhubung dengan FIFA dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia)," katanya.

“Perkara ini berlaku dan ia tidak khusus untuk bola sepak Australia.

"Apa yang penting untuk orang ramai dan untuk FIFA dan AFC ialah tindakan kami dan respons kami sangat mudah, tiada ruang dalam sukan kami untuk jenis tingkah laku sebegini.

"Mereka yang menyertainya akan disingkirkan dan kami akan melakukannya dengan segera." -AFP


(Tangkap layar siaran yang menunjukkan penjaga gol Melbourne City yang diserang / TWITTER)

Media Baharu