NEW YORK, 20 Oktober- Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pada Isnin bahawa Mexico, Costa Rica dan Jamaica akan menyertai usaha bersama menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA 2031.
AS sebelum ini diumumkan sebagai satu-satunya calon bagi kejohanan yang diperluas kepada 48 pasukan itu.
Dalam majlis pelancaran rasmi di New York, Presiden AS Soccer, Cindy Parlow Cone berkata ahli CONCACAF itu akan turut menganjurkan perlawanan sepanjang kejohanan.
“Bersama-sama, kami mempunyai peluang luar biasa untuk menganjurkan Piala Dunia Wanita terbesar dan paling berimpak dalam sejarah,” katanya.
Pencalonan bersama itu dijangka dihantar kepada FIFA bulan depan, dengan kelulusan rasmi dijangka diumumkan pada kongres di Vancouver, April 2026.
Presiden CONCACAF dan Naib Presiden FIFA, Victor Montagliani menyifatkan pencalonan itu sebagai peluang untuk memperkukuh pembangunan bola sepak wanita di seluruh Amerika Utara, Tengah dan Caribbean.
AS dan Mexico sebelum ini merancang bertanding bagi Piala Dunia Wanita 2027 tetapi menarik diri bagi menumpukan usaha pada pencalonan 2031.
Kejohanan 2027 akhirnya dianugerahkan kepada Brazil.
Amerika Utara sebelum ini telah menjadi tuan rumah sebanyak tiga kali, AS pada 1999 dan 2003 serta Kanada pada 2015.
Sementara itu, Parlow Cone berkata minat terhadap bola sepak wanita kini berada pada tahap tertinggi di AS.
“Bola sepak wanita berkembang pesat, stadium sentiasa penuh, dan penaja melihatnya sebagai salah satu pelaburan terbaik dalam sukan,” katanya.
Michael Ricketts dari Federasi Bola Sepak Jamaica pula menekankan bahawa menjadi tuan rumah perlawanan akan memberi impak besar kepada rakyat Jamaica.
“Ini bukan perkara biasa bagi sebuah negara kecil seperti kami menjadi tuan rumah Piala Dunia. Ia besar untuk Jamaica dan setiap rakyat yang bangga,” katanya. -AFP