fb fb fb fb fb

Piala Dunia Wanita 2023: AS hantar skuad campuran senior dan muda

(Alex Morgan dan Megan Rapinoe akan beraksi buat kali keempat di Piala Dunia / AFP)

LOS ANGELES, 22 Jun- Alex Morgan dan Megan Rapinoe disenaraikan dalam skuad Amerika Syarikat untuk Piala Dunia Wanita bulan depan di Australia dan New Zealand.

Morgan, yang berusia 33 tahun, Rapinoe, 37, dan pemain pertahanan Kelley O'Hara, 34, semuanya akan bermain dalam Piala Dunia keempat mereka.

Ketiga-tiga mereka adalah antara sembilan veteran pasukan AS yang memenangi Piala Dunia 2019 termasuk dalam skuad 23 pemain kendalian ketua jurulatih Vlatko Andonovski.

Penjaga gol Alyssa Naeher dan pemain tengah Julie Ertz akan bermain dalam Piala Dunia ketiga berturut-turut.

"Tugas untuk memilih pasukan Piala Dunia tidak pernah mudah, tetapi saya berbangga dengan para pemain kerana etika kerja dan tumpuan mereka," kata Andonovski. .

“Pemainlah yang memberi impak terbesar kepada persekitaran kita, mereka mendorong satu sama lain untuk menjadi lebih baik dan saya tahu sebagai satu kumpulan mereka amat bermotivasi untuk membanggakan negara di Piala Dunia.

"Setiap pemain mempunyai perjalanan berbeza untuk sampai ke tahap ini jadi senarai kami mempunyai beberapa cerita yang menakjubkan dan kami mempunyai gabungan pemain veteran dan pemain muda yang sangat bagus."

Persediaan skuad wanita AS untuk Piala Dunia turut terganggu akibat kecederaan.

Kapten Becky Sauerbrunn telah diketepikan minggu lalu. Pemain AS lain yang tercicir daripada senarai, termasuk Catarina Macario dan Mallory Swanson.

AS memulakan kempen Piala Dunia menentang Vietnam di Auckland pada 22 Julai. -AFP


(Ketua Jurulatih AS, Vlatko Andonovski)

Media Baharu