fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2026 berdepan cabaran haba melampau

Foto AFP

LOS ANGELES, 26 Disember- Kurang enam bulan sebelum sepak mula Piala Dunia 2026, penganjur kejohanan berdepan cabaran besar susulan kebimbangan terhadap haba melampau yang berpotensi menjejaskan keselamatan pemain, pegawai dan penonton.

Suhu tinggi yang melanda Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada menimbulkan isu keselamatan serta cabaran logistik, termasuk di beberapa stadium utama yang akan menjadi tuan rumah kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Di Stadium SoFi di Los Angeles, yang akan menganjurkan lapan perlawanan Piala Dunia, pihak pengurusan telah menyediakan kipas kabus industri bagi digunakan sekiranya suhu melebihi 26.7 darjah Celsius.

Stadium moden itu turut dilengkapi bumbung separa serta bukaan sisi yang membenarkan aliran angin dari Lautan Pasifik.

“Suhu tinggi, ditambah kehadiran puluhan ribu penonton, memerlukan kami bertindak balas dengan teliti,” kata Naib Presiden Operasi pengurusan stadium itu, Otto Benedict.

Bagaimanapun, tidak semua daripada 16 stadium Piala Dunia mempunyai kemudahan serupa. Satu kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Biometeorology pada Januari lalu memberi amaran mengenai “kebimbangan serius” terhadap kesihatan pemain dan pegawai akibat haba melampau.

Kajian itu mengenal pasti enam bandar berisiko tinggi, iaitu Monterrey, Miami, Kansas City, Boston, New York dan Philadelphia, berdasarkan bacaan suhu glob mentol basah (WBGT) yang mengambil kira kelembapan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bertindak dengan mewajibkan rehat penyejukan automatik pada minit ke-22 dan ke-67 bagi semua perlawanan, tanpa mengira keadaan cuaca.

Jadual perlawanan yang dikeluarkan FIFA menunjukkan perlawanan siang hari kebanyakannya dijadualkan di stadium berhawa dingin seperti di Dallas, Houston dan Atlanta, manakala perlawanan di lokasi berisiko tinggi diadakan pada waktu malam.

Kesatuan pemain dunia, FIFPro, menyambut baik langkah itu namun menyifatkan beberapa perlawanan masih berisiko tinggi, termasuk perlawanan peringkat kumpulan pada waktu petang di New York, Boston dan Philadelphia, serta perlawanan akhir yang dijadualkan bermula pukul 3 petang di New York.

Pakar cuaca turut memberi amaran bahawa risiko terhadap penonton mungkin dipandang remeh, terutama akibat kesan “pulau haba bandar” dan faktor kesihatan penonton.

FIFA setakat ini belum mengesahkan dasar berkaitan bekalan air dan penggunaan botol air boleh guna semula di dalam stadium.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI