fb fb fb fb fb

Badrul Afzan direhatkan, Tengku Hazman ambil alih Terengganu FC

Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali / BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) mengumumkan bahawa Ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali direhatkan berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi kurang memberangsangkan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan melalui kenyataan media dalam laman Facebook rasmi pasukan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, penolong ketua jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan dilantik sebagai ketua jurulatih interim sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu dibuat secara rasmi.

"TFCSB ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah TFCSB telah memutuskan untuk merehatkan ketua jurulatih Badrul Afzan Razali berkuat kuasa serta-merta.

"Sehubungan dengan itu, pihak kelab mengumumkan bahawa Tengku Hazman Raja Hassan selaku penolong ketua jurulatih dilantik sebagai ketua jurulatih interim sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi," menurut kenyataan itu.

TFCSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang membimbing pasukan TFC.

Pengendali berusia 49 tahun itu dilantik sebagai ketua jurulatih pada 15 Jun 2025 bagi tempoh setahun, iaitu hingga Mei 2026.

Beliau sebelum itu dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih pada 1 Okt 2024 selepas Tomislav Steinbruckner melepaskan jawatan berikutan prestasi hambar dan tekanan daripada penyokong skuad Penyu. - BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD