BERGAMO, 26 Disember- Atalanta kini dalam fasa kebangkitan menjelang kunjungan pendahulu Serie A, Inter Milan, pada Ahad malam dengan jurulatih baharu Raffaele Palladino mengetuai kelab dari Bergamo itu.
Sejak menggantikan Ivan Juric bulan lalu, Palladino berjaya mengembalikan rentak Atalanta, termasuk kemenangan penting dalam Liga Juara-Juara Eropah menentang Eintracht Frankfurt dan Chelsea.
Atalanta kini berada di kedudukan kelima carta Liga Juara-Juara, berkongsi mata dengan Paris Saint-Germain dan Manchester City, serta mula mendaki kedudukan Serie A.
Kemenangan saat akhir ke atas Genoa minggu lalu meletakkan mereka hanya tiga mata di belakang zon kelayakan Eropah.
“Ia bukan persembahan terbaik kami, tetapi kemenangan adalah yang paling penting,” kata Palladino.
Perlawanan menentang Inter merupakan yang pertama daripada tiga aksi berturut-turut menentang pesaing langsung untuk tempat Liga Juara-Juara, termasuk Roma dan Bologna.
Bagaimanapun, Atalanta kehilangan penyerang utama Ademola Lookman dan pertahanan Odilon Kossounou yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Inter pula tiba di Bergamo dengan jadual padat selepas gagal mempertahankan Piala Super Itali di Arab Saudi.
Pasukan kendalian Cristian Chivu turut dibelenggu kecederaan beberapa pemain utama termasuk Ange-Yoan Bonny, Denzel Dumfries, Francesco Acerbi dan Hakan Calhanoglu.
Inter kini mendahului AC Milan dengan kelebihan satu mata di puncak liga, manakala Napoli di tempat ketiga satu mata di belakang.- AFP