BOLOGNA, 23 November - Juara enam kali kejohanan, Sepanyol mara ke pentas akhir Piala Davis selepas menewaskan Jerman 2-1 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
Kemenangan tersebut dicapai menerusi pasangan beregu Marcel Granollers dan Pedro Martinez yang menewaskan beregu Jerman Kevin Krawietz dan Tim Puetz dalam aksi tiga set 6-2, 3-6, 6-3.
Pada perlawanan itu, pasangan Sepanyol itu bermula garang, mendahului 4-0 dalam set pertama sebelum menang mudah 6-2.
Bagaimanapun, pasangan Jerman, Krawietz dan Puetz bangkit pada set kedua dengan kemenangan 6-3 sekali gus memaksa perlawanan ke set penentuan.
Pasangan Sepanyol, Marcel Granollers dan Pedro Martinez kembali mempamerkan aksi cemerlang untuk memenangi set penentuan 6-3 bagi memastikan slot Sepanyol ke pentas akhir bertemu Itali pada Ahad.
Terdahulu, Sepanyol berjaya meraih mata pertama menerusi pemain perseorangan lelaki, Pablo Carreno Busta yang menewaskan Jan-Lennard Struff 6-4, 7-6(6) pada perlawanan pembukaan.
Jerman kemudiannya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Alexander Zverev yang menewaskan Jaume Munar 7-6(2), 7-6(5).
Sepanyol yang kali terakhir memenangi Piala Davis pada 2019, kini memburu kejuaraan ketujuh menentang juara bertahan Itali yang menumpaskan Belgium pada satu lagi separuh akhir. - REUTERS