fb fb fb fb fb

Piala Asia: Pertembungan Qatar-Jordan bakal jawab kritikan negatif penyokong

Foto Reuters

DOHA, 10 Februari - Pertembungan final Piala Asia antara Qatar dan Jordan bakal menjawab kritikan-kritikan negatif yang mengatakan bahawa kedua-dua pasukan tidak mempunyai peluang untuk mara lebih jauh.

Pasukan 'underdog' Jordan dilihat pasukan yang penuh kejutan apabila sekadar menamatkan kedudukan kumpulan di tangga ketiga bagi mara ke pusingan kalah mati.

Jordan menewaskan dua pasukan terkemuka iaitu Iraq pada suku akhir sebelum mengecewakan Korea Selatan pada separuh akhir.

Kejayaan tersebut sangat bermakna buat jurulatih pasukan berkenaan yang berasal dari Maghribi, Hussein Ammouta.

Hussein sebelum ini menjadi mangsa kritikan selepas pasukan berkenaan mencatatkan kekalahan pada enam perlawanan sepanjang tahun 2023.

"Secara peribadinya, saya gembira dengan pencapaian mara ke final", kata Hussein.

"Pada kebiasaannya, jurulatih menjadi individu yang dipersalahkan ketika pasukan tewas dan apabila menang ia disebabkan oleh moral pasukan. Kami bersedia daripada sudut aspek mental dan fizikal.

"Saya berharap kami telah bersedia apabila permainan dimulakan. Saya tidak pernah ambil pusing terhadap kritikan yang dilemparkan kerana saya mendapati ia tidak memberi sebarang manfaat", kata Hussein kepada pemberita menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Lusail.

Sementara itu, ketika Jordan bermain bagi final pertama Piala Asianya, Qatar pula dilihat sebagai pilihan bagi menjuarai kejohanan bagi kali kedua selepas melakukannya pada 2019.

Pada kejohanan Piala Dunia 2022, Qatar mengecewakan para penyokongnya dengan tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan, namun persembahan pasukan itu dilihat berubah sama sekali pada kejohanan Piala Asia kali ini apabila menang pada setiap perlawanan termasuk ketika menewaskan Iran 3-2 pada perlawanan separuh akhir.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

"Sebulan sebelum kejohanan bermula, tiada siapa menjangkakan kami (Qatar) mampu mara ke final", kata ketua pasukan,Hassan Al-Haydo.

Dalam pada itu, jurulatih Qatar, Marquez Lopez berkata hubungan persaudaraan yang terjalin di antara kedua-dua negara Arab itu akan dilupakan seketika menjelang sepak mula final berkenaan.

"Ini adalah pertandingan yang diibaratkan 'adik-beradik'. Hubungan kedua-duanya sangat erat.

"Namun, pada akhirnya kami bertanding dengan sengit bagi memenangi kejohanan", kata Lopez.

"Ia bukan perjalanan mudah buat pasukan. Kami telah berada di final.Tapi kami belum lagi menang.

"Ada pepatah Sepanyol yang berbunyi tempat kedua adalah buat mereka yang tewas. Kami tidak berpuas hati dengan tempat kedua. Kami bermain untuk trofi kejuaraan.

"Kami mahu jadi yang terbaik di benua Asia", tambah Lopez.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD