KUALA LUMPUR, 21 Januari- Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kegagalan Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 selepas tewas 0-1 kepada Bahrain.
Jurulatih dari Korea Selatan itu tidak menyalahkan sesiapa kecuali dirinya yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap barisan pemain.
"Tiada apa yang salah, di sinilah kami berada, mungkin sebagai jurulatih saya silap. Saya mempunyai terlalu banyak jangkaan...memberi terlalu banyak impian kepada pemain saya kepada orang ramai (rakyat Malaysia), itu masalah saya.
"Tiada apa-apa (salah) daripada FA (Persatuan Bolasepak Malaysia), daripada pemain atau orang ramai, ini masalah jurulatih," jelas Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan menetang Bahrain, Pan Gon merasakan Harimau Malaya sekurang-kurangnya mampu mencatat keputusan seri, selain menganggap anak buahnya gagal untuk mendominasi permainan.
Namun, dari sudut positif, ia memberi pengalaman berguna pemain muda yang masih berpeluang beraksi pada edisi akan datang.
Kemenangan pertama Bahrain dalam kempen Piala Asia, menghidupkan peluang pasukan itu melangkah ke pusingan 16 terbaik sekali gus menyamai pencapaian edisi 2019.
Malaysia akan melengkapkan baki saingan kumpulan bertemu juara dua kali Korea Selatan manakala Bahrain akan membuat perhitungan dengan Jordan, masing-masing pada Khamis ini.