PATHUM THANI, 11 Januari-Kekalahan Malaysia kepada Thailand di peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 semalam tidak seharusnya ditangisi dan menjadi igauan ngeri buat pemain serta penyokong Harimau Malaya.
Sebaliknya, ketua jurulatih negara, Kim Pan Gon menyifatkan, pengalaman yang diperolehi sepanjang kempen ini telah berjaya menghasilkan impak positif buat masa depan skuad negara, terutamanya dalam menghadapi kempen Piala Asia 2023 selepas ini.
Pada aksi separuh akhir kedua semalam, Malaysia tewas 0-3 kepada Thailand di Stadium Thammasat, sekali gus gagal ke final selepas tersingkir dengan agregat 3-1.
Meskipun kekecewaan jelas terpancar di wajah Pan Gon, beliau bagaimanapun enggan memikirkan kegagalan tersebut, sebaliknya meluahkan penghargaan ke atas anak buahnya yang menunjukkan semangat juang yang tinggi dan bersatu padu demi mencapai kejayaan dalam kempen ini.
"Saya rasa kita perlu memikirkan sangat tentang kekalahan ini. Paling penting tanpa kesemua pemain-pemain ini, kita tidak akan menyertai pertandingan ini" ujar Pan Gon.
Jurulatih berusia 53 tahun itu turut berkata pihaknya akan menjalankan penilaian menyeluruh bagi mendapatkan gambaran tentang barisan pemain yang akan dikekalkan bagi kejohanan seterusnya.
Dalam pada masa yang sama, beliau bersedia mengambil tanggungjawab dan kritikan susulan kekalahan kepada Thailand.
“Sebahagian pemain akan kekal, sebahagian pemain, mungkin ini yang terakhir, kami tidak tahu, tapi kami tidak mahu menyalahkan mereka. Saya akan mengambil semua tanggungjawab,” katanya.
Dalam kempen Piala AFF ini, skuad Harimau Malaya dibarisi kebanyakan muka baharu selepas 14 pemain utama tidak dapat menyertainya kerana hal peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.
Skuad negara yang pernah muncul juara pada 2010, tersingkir di peringkat kumpulan dalam edisi sebelum ini.
(Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon)