(FOTO Faceboook FAM)
KUALA LUMPUR, 4 Januari - Skuad Harimau Malaya membuktikan ketiadaan beberapa tonggak utama mampu di atasi apabila layak ke peringkat separuh akhir.
Anak buah Kim Pan Gon tidak mengecewakan kehadiran lebih 65,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi apabila membenam Singapura 4-1.
Kemenangan itu mengesahkan tiket Malaysia ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan B di belakang Vietnam.
Dalam perlawanan tersebut skuad Harimau Malaya turun dengan misi wajib menang dan mula mengasak kubu Singapura sejak awal permainan.
Beberapa peluang berjaya dicipta menerusi Faisal Halim, Mukhairi Ajmal dan Darren Lok, namun berjaya dihalang penjaga gol The Lions, Hassan Sunny.
Bagaimana pun, skuad negara berjaya membuka jaringan menerusi Darren pada minit ke-22 hasil umpanan Safawi Rasid.
(FOTO Faceboook FAM)
Babak kedua, giliran Stuart Wilkin menceriakan penonton menerusi rembatan derasnya dari jarak jauh pada minit ke 50.
Wilkin sekali lagi merobek gawang pelawat dengan jaringan menarik selang 4 minit kemudian untuk gol ketiga negara.
Ketika kelebihan 3-0, kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaya akhirnya dihukum dengan gol pertama Singapura menerusi Faris Ramli pada minit ke-85.
Namun, jaringan itu tidak melemahkan semangat juang skuad negara yang menambah satu lagi gol menerusi pemain gantian Sergio Aguero di hujung babak kedua.