fb fb fb fb fb

PGGS, NASOM tingkat kesedaran autisme menerusi klinik dan kejohanan golf amal

Klinik 'Golf Fore Autism' adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan di negara ini

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Seramai 48 peserta bertanding bagi Kejohanan Amal Golf Fore Autism Sulung 2023 anjuran Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Manakala bagi Klinik Golf Fore Autism yang berlangsung di Kelab Golf Negara Subang (KGNS) anjuran PPGS dan Akademi MYGM pula disertai 10 orang kanak-kanak autisme dari NASOM.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPGS Megat Mohd Shahrin Datuk Mohamed Hamdan berkata, Klinik 'Golf Fore Autism' adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan di negara ini.

Beliau berkata, program berkenaan akan  dapat membantu ramai kanak-kanak autisme bersama ibu bapa mereka.

"Walaupun tujuan utama program ini adalah untuk membantu kanak-kanak, ia juga mewujudkan kumpulan tambahan bakat golf yang telah 'diabaikan'.

"Kita mungkin dapat mengesan potensi besar daripada kumpulan ini hingga menjadi pemain golf amatur atau profesional elit, kerana permainan golf sesuai dengan kemahiran motor dan intensiti tumpuan mereka.

"Lebih penting lagi, kami berharap anak-anak akan dapat menikmati masa dan manfaat mereka daripada inisiatif ini,"katanya.

Sementara itu, Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin dalam ucapannya melahirkan rasa gembira dengan penganjuran kejohanan dan klinik tersebut.

"Ini adalah kerjasama yang baik dengan PPGS. Kesedaran rakyat Malaysia kini lebih baik tentang autisme atau ASD (Autism-Spectrum-Disorder) tetapi kita masih perlu terus mendidik masyarakat dan mendapat pendedahan yang lebih besar,"katanya.

Kejohanan Amal Golf Fore Autisme 2023 merupakan inisiatif PPGS dengan kerjasama NASOM untuk meningkatkan kesedaran tentang ASD dan mempromosikan golf dalam komuniti ASD, terutamanya kanak-kanak dan belia dengan harapan dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan kanak-kanak dan belia ASD melalui golf.

Klinik Golf Fore Autism dijalankan untuk memperkenalkan golf kepada peserta dengan mengajar bukan sahaja kemahiran golf tetapi aktiviti koordinasi mata tangan yang dapat dicapai dengan bantuan jurulatih dari Akademi MYGM, berpusat di KGNS.

Hadiah kejohanan ditaja MST Golf Berhad sementara Frasier & Neave (F&N) dengan isotonik 100 Plus menaja minuman dan air mineral untuk pemain dan kanak-kanak.

Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) telah menyumbangkan lebih daripada 200 kayu golf junior kepada PPGS untuk program berkenaan dan program pembangunan golf junior.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE