KUALA LUMPUR, 16 Disember- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan lebih banyak lagi acara e-sukan bertaraf dunia seperti ESL One yang dianjurkan di Malaysia.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, usaha itu selari dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan di Asia Tenggara.
"Platform ini juga dapat menjadi satu medan persaingan. Saya juga berharap usaha ini juga akan membantu meningkatkan lagi kualiti pemain-pemain kita," kata Adam kepada pemberita selepas sesi tinjauan mesra ESL One di ibu negara, pada Jumaat.
12 pasukan terbaik dunia berentap dalam permainan DOTA untuk merebut satu daripada enam slot 'play-off' ESL One selain ganjaran wang tunai bernilai RM4.6 juta.
Kejohanan antarabangsa itu, yang memasuki tahun keempat, bermula pada 11 Disember lepas dan berakhir esok.