fb fb fb fb fb

Pestabola Merdeka : Harimau Malaya jumpa Lubnan di pentas akhir

FOTO FAM

KUALA LUMPUR, 4 September- Skuad bolasepak kebangsaan memastikan kemaraan ke perlawanan akhir saingan Pestabola Merdeka apabila menewaskan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Separuh masa pertama anak buah Pau Marti Vicente mempamerkan aksi yang kurang memberangsangkan sehingga pasukan pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-27 apabila Jefferson Tabinas menafikan pertahanan penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed.

Tersentak dengan jaringan tersebut skuad kebangsaan melakukan beberapa percubaan untuk menyamakan kedudukan namun jaringan hanya tiba 2 minit sebelum babak pertama tamat.

Gol penyamaan itu hadir menerusi Syamer Kutty Abba pada minit ke-43.

Sambung babak kedua, Harimau Malaya semakin garang menggandakan jaringan, dan akhirnya sepakan penalti berjaya diperoleh apabila Arif Aiman dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain gantian, Safawi Rasid, tampil meletakkan Malaysia di hadapan 2-1 apabila berjaya menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Neil Leonard Ethridge.

Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Malaysia ke perlawanan penentuan bertemu Lubnan yang terdahulu menewaskan juara bertahan, Tajikistan dalam aksi yang berlangsung di sebelah petang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE