fb fb fb fb fb

Perpaduan sukan diketengah pada temasya Para SUKMA 2024

Datuk Seri Fatimah (tengah) pada Majlis Perasmian Pusat Media Para SUKMA 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong Kuching / FOTO JAPEN SARAWAK

KUCHING,18 September- Penginapan atlet para yang mengambil bahagian dalam temasya Para SUKMA ke-21 akan ditempatkan mengikut acara sukan masing-masing bukan berdasarkan kontinjen setiap negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Pengerusi Bersama SUKMA dan Para SUKMA edisi Ke-21 Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ia bagi membolehkan atlet-atlet berkenaan untuk berinteraksi dan menerapkan perpaduan menerusi semangat kesukanan antara kontinjen lain.

Ia sekali gus selaras dengan hasrat penganjurannya iaitu mengutamakan perpaduan dalam kepelbagaian.

Jelas Datuk Seri Fatimah, lebih 1,000 sukarelawan yang bertugas pada temasya itu juga akan ditempatkan di penginapan mengikut kategori kurang upaya atlet bagi memudahkan pengurusan setiap atlet di fasiliti penginapan hingga ke venue sukan.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media pada Majlis Perasmian Pusat Media Para SUKMA 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong Kuching hari ini.

Mengulas mengenai Perasmian Para SUKMA yang akan berlangsung pada 22 September ini beliau memaklumkan ia akan diadakan di Stadium Perpaduan Kuching dan tiket disediakan mengikut jumlah tempat duduk sedia ada.

Sementara itu dalam sidang media yang sama Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Datuk Abdullah Saidol memaklumkan bahawa Pertandingan Fotografi dan Videografi Para SUKMA ke-21 yang terbuka kepada warganegara Malaysia turut akan diadakan.

Pertandingan tersebut menyediakan hadiah bernilai sehingga RM15,000 sepanjang penganjuran temasya berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE