KUCHING, 18 September- Jabatan Penyiaran Sarawak akan membuat pelaporan radio untuk semua acara sukan pada Para SUKMA ke-21 di sepuluh lokasi pertandingan.
Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat berkata kesemua petugas telah diatur gerak untuk membuat pelaporan secara langsung ke studio mini RTM di Pusat Penyiaran Para SUKMA, Stadium Sarawak.
Selain laporan harian, RTM juga akan menyiarkan secara langsung majlis perasmian yang dijadualkan pada Ahad ini serta majlis penutupan pada 28 September.
Tambahnya laporan harian juga akan menampilkan kelainan dengan sesi interaksi antara penyampai.
“Kelainan yang kita bawa pada Para SUKMA kali ini ialah kita akan berinteraksi dengan semua DJ yang ada di Kuching, lima bahasa akan bergabung sebelum mereka membuat pelaporan ke saluran masing-masing” katanya ketika ditemui hari ini.
Wan Azhan ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Penyiaran Para SUKMA ke-21 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Temasya Para SUKMA akan melibatkan sukan boccia, para badminton, para boling padang, para catur, para memanah,para olahraga, para ping-pong, powerlifting, para renang dan para tenpin boling.