KUCHING, 26 September- Hari keempat Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menyaksikan kejayaan cemerlang bagi Perlis yang menambah koleksi emas menerusi atlet lontar peluru, Umi Syuhadah Idris.
Beliau berjaya memecahkan rekod dengan lontaran sejauh 7.53 meter (m) dalam acara Lontar Peluru Wanita F-37 pagi tadi.
Lebih membanggakan, setelah lapan tahun, ibu kepada dua cahaya mata ini memperbaiki rekod peribadinya yang dicipta pada 2016 dengan lontaran 7.25m.
"Saya berusaha untuk memperbaiki prestasi lepas dan hari ini, saya bertekad memberikan yang terbaik untuk negeri dan anak-anak," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Rekod baharu itu dipecahkan pada lontaran keenam.
Pingat perak dalam acara tersebut dimenangi oleh Jovita Joseph dari Sabah dengan lontaran 5.82 m, manakala atlet Johor Nur Izzati Amira Badrul meraih pingat gangsa dengan lontaran 4.84m.
Sementara itu, atlet Negeri Sembilan Muhd Fayyadh Abdullah memenangi pingat emas dalam acara Lontar Peluru Lelaki F40 dengan lontaran 7.06m, mendahului tujuh peserta lain.
Beliau menyatakan bahawa pingat emas itu sangat bermakna sebagai pengiktirafan terhadap kesukaran dan cabaran yang dilaluinya semasa latihan.
Muhd Fayyadh, 28, berharap untuk mengembangkan potensinya di persada kebangsaan dan antarabangsa. Terdahulu, beliau juga memenangi pingat perak dalam kategori sama bagi acara Lempar Cakera.
Walaupun mengalami kecederaan di pergelangan tangan, Muhd Fayyadh tetap fokus dan berjaya mengungguli acara tersebut.
Dalam Lontar Peluru Lelaki F40, pingat perak dimenangi oleh atlet Kelantan Muhd Asmuei Che Kamaruddin dengan lontaran 6.37m, manakala atlet Perak Ahmad Afnan Azhar, memperoleh gangsa dengan lontaran 5.83m.