fb fb fb fb fb

Perlawanan Akhir Piala FA, lebih 2,400 anggota polis ditugaskan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Seramai 2,488 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan pada Perlawanan Akhir Piala FA 2024, melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Selangor FC, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata anggota yang bertugas di Stadium Nasional Bukit Jalil meningkat berbanding 1,500 anggota tahun lalu.

Beliau berkata, penambahan itu bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan akhir itu berlangsung.

"Elakkan melalui jalan-jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton perlawanan, maknanya mana-mana orang yang tidak bertujuan untuk menonton perlawanan ini jangan lah lalu kawasan ini nanti terperangkap dalam kesesakan," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.

Rusdi turut mengingatkan penonton yang hadir agar menjaga kelakuan dan tidak melakukan provokasi sehingga mencetuskan kekecohan.

"Tindakan tegas akan diambil kepada penyokong yang ingkar," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN