fb fb fb fb fb

Peranti sokongan dijangka jadi norma dalam kejohanan profesional esukan

Ketua E-Sukan Malaysia Moonton Games, Fikri Rizal Mahruddin (kiri) dan Wai Kiat Hong, Pengarah Pemasaran Infinix Malaysia (kanan)

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Ketua E-Sukan Malaysia Moonton Games, Fikri Rizal Mahruddin, berpandangan bahawa penggunaan peranti sokongan akan menjadi kelaziman dalam pertandingan profesional e-sukan pada masa akan datang.

Beliau mengakui bahawa penggunaan aksesori tambahan pada telefon pintar ketika ini mungkin dianggap sebagai ‘cheat’ atau kesalahan kerana memberikan kelebihan tersendiri kepada pemain.

Namun, beliau menyifatkan telefon pintar sebagai "kasut" kepada atlet e-sukan, satu keperluan asas sepertimana kasut berteknologi tinggi kepada pelari jarak jauh yang kini menggunakan pelapik karbon untuk prestasi optimum.

Menurutnya, teknologi dalam sukan terus berkembang dan e-sukan tidak terkecuali daripada arus tersebut. “Saya percaya suatu hari nanti, penggunaan aksesori seperti butang pencetus (trigger), alat penyejuk telefon dan pengawal tambahan akan diterima dalam format pertandingan rasmi, sama seperti evolusi dalam sukan tradisional,” katanya.

Dalam konteks semasa, peraturan kejohanan e-sukan di Malaysia masih menetapkan had tertentu, di mana pemain hanya dibenarkan menggunakan telefon pintar tanpa aksesori tambahan seperti alat kawalan luaran. Penganjur kejohanan seperti MPL Malaysia mengenakan garis panduan ketat demi memastikan keadilan dan keseragaman dalam permainan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fikri turut mengumumkan bahawa Stadium Juara Bukit Kiara dipilih semula sebagai gelanggang rasmi pusingan playoffs Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-15, selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada musim ke-11.

“Tempat ini memang bersedia sepenuhnya untuk menampung kapasiti 1,500 penonton pada satu masa. Malah pada musim ke-11, kita berjaya merekodkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung sepanjang empat hari kejohanan,” ujarnya.

Tambahnya, lokasi strategik dan kemudahan lengkap seperti surau, tandas serta akses pengangkutan awam menjadi faktor utama pemilihan venue tersebut, walaupun ruang parkir agak terhad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena pelancaran Infinix GT30 Pro, yang diumumkan sebagai telefon pintar rasmi untuk saingan MPL Malaysia musim depan.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI