fb fb fb fb fb

Hannah ucap tahniah buat Mirabel raih Anugerah Annika 2025

Foto FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada atlet golf remaja Malaysia Mirabel Ting yang merangkul Anugerah ANNIKA 2025 iaitu pengiktirafan kepada pemain wanita terbaik peringkat kolej Amerika Syarikat.

Hannah berkata anugerah itu istimewa kerana pemenang diundi oleh pemain, jurulatih dan media golf sekali gus menjadi bukti pengiktirafan komuniti sukan itu terhadap bakat Mirabel.

"Mirabel yang berasal dari Miri turut berada pada ranking kedua dalam Ranking Golf Amatur Dunia, petunjuk kuat bahawa beliau akan mencapai kejayaan dalam kerjayanya.

"Tahniah Mirabel, terus harumkan nama Malaysia!" katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mirabel menjadi warga Asian pertama menerima anugerah berprestif itu, sehari selepas beliau muncul naib johan Kejohanan Golf Wanita Divisi I NCAA di California.

Dinamakan sempena pemenang 72 kali Jelajah LPGA Annika Sorenstam, anugerah itu diwujudkan dengan kerjasama Haskins Commission bagi mengiktiraf pemain golf wanita utama peringkat kolej pada penghujung musim, menyerupai Anugerah Haskins buat pemain golf lelaki utama Divisi I peringkat kolej.

Pemenang Anugerah ANNIKA sebelum ini termasuk Ingrid Lindblad (Sweden-2024), Rose Zhang (Amerika Syarikat-2022, 2023), Rachel Heck (Amerika Syarikat-2021) dan Natalie Srinivasan (Amerika Syarikat -2020). - BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI