IPOH, 5 April – Perak FC optimis untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok pertengahan Liga Super musim ini meskipun hanya berbaki tiga perlawanan sebelum tirai liga melabuh.
Ketua Jurulatihnya, Yusri Che Lah berkata, keyakinan itu disandarkan kepada semangat juang serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam siri aksi terdahulu.
“Musim lalu, kita berada di tangga ke-11 dengan 22 mata, bolos 55 jaringan dan hanya menjaringkan sekitar 25 gol. Tetapi tahun ini ada peningkatan ketara, dan jika tiga baki perlawanan ini dimanfaatkan sepenuhnya, kita mampu berada di kedudukan ke-6 atau ke-7 liga,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, pencapaian lebih baik musim ini akan menjadi penanda aras perkembangan prestasi skuad The Bos Gaurus yang kini mula menunjukkan peningkatan dari segi taktikal dan semangat berpasukan.
Dalam perkembangan lain, Perak FC bakal turun tanpa tonggak pertahanan import dari Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov dalam aksi menentang KL City FC petang esok selepas pemain itu mengalami kecederaan buku lali ketika sesi latihan.
Pihak kejurulatihan berharap Kanybekov dapat pulih sepenuhnya menjelang perlawanan seterusnya menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 12 April ini.