KUALA LUMPUR, 27 Disember - Arena Sukan Kuala Lumpur bakal menjadi pentas kebangkitan bakat baharu sukan tempur menerusi penganjuran Fury Redemption pada 28 Disember 2025 yang menghimpunkan 22 petarung dengan 11 pertarungan sengit.
Berbeza dengan Fury Championship awal tahun lalu, Fury Redemption diperkenalkan sebagai platform khas untuk memberi peluang kepada petarung yang kurang dikenali serta mereka yang mahu menebus kekalahan lalu, sekali gus membuka ruang pendedahan lebih luas kepada bakat tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Fury, Mohd. Wafiy Ilhan Johan berkata Fury Redemption diwujudkan bagi mengalakkan potensi petarung yang mempunyai keupayaan tinggi tetapi belum mendapat perhatian sewajarnya.
“Perbezaan Fury Redemption dengan Fury Championship adalah Redemption ini lebih kepada kita nak tunjukkan bakat-bakat baharu dan juga mereka yang pernah kalah, dekat Fury Championship, kita pilih siapa yang betul-betul nak berlawan, kita akan masukkan dekat Redemption. Jadi itulah sebenarnya, kita nak bagi pendedahan, kita nak bagi platform untuk petarung yang mungkin belum dikenali, jadi itulah fungsinya ada Fury Redemption,” kata beliau ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, penganjuran Fury Redemption juga mencerminkan peningkatan tahap profesionalisme termasuk dari segi produksi bertaraf antarabangsa, susulan sambutan positif terhadap Fury Championship sebelum ini yang turut menarik minat petarung dari Iran, Afghanistan dan Nigeria.
Fury Redemption dibina berteraskan naratif peluang kedua, sama ada melibatkan petarung yang kembali selepas kecederaan, perseteruan lama yang ingin diselesaikan, mahu pun bintang baharu yang mahu membuktikan kemampuan mereka di pentas besar.
Ia juga disasarkan sebagai batu loncatan kepada perancangan lebih besar, termasuk penganjuran Fury Championship World Tour yang dijangka bermula pertengahan tahun hadapan, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai destinasi penting sukan tempur bertaraf dunia.