KUALA LUMPUR, 30 Julai – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan semua pasukan agar melengkapkan proses pendaftaran pemain sebelum sepak mula aksi pertama Liga Malaysia musim 2025/2026.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan, proses pendaftaran perlu melalui beberapa peringkat, termasuk pengesahan dokumen oleh unit perlesenan sebelum diserahkan kepada unit pertandingan untuk semakan akhir.
“Proses akhir kita adalah pendaftaran pemain. Pertama, AFP melengkapkan semua dokumen untuk kelulusan pendaftaran. Selepas itu, unit perlesenan menyerahkan dokumen kepada unit pertandingan untuk proses semakan akhir bagi memastikan semua pemain layak didaftarkan dan dibenarkan beraksi," katanya.
Tambahnya lagi pendaftaran pertama akan tutup pada 31 Ogos ini manakala pendaftaran kedua pada Januari dan Febuari tahun hadapan.
Namun beliau menegaskan setiap kelab perlu mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain termasuk dua penjaga gol sebelum aksi pertama liga.
Liga Super akan membuka tirainya pada 8 Ogos yang menyaksikan perlawanan pertama antara Selangor FC menentang pasukukan Johor Darul Ta'zim(JDT) yang akan berlangsung di stadium Sultan Ibrahim, Johor.