RAWANG, 31 Julai – Persiapan skuad berbasikal negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand masih belum dimuktamadkan apabila Majlis Sukan Negara (MSN) mahu menunggu pelan rasmi daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum memuktamadkan jumlah dana yang bakal disalurkan.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, PKBM dijadual mengadakan Mesyuarat Ahli Majlis pada Sabtu ini bagi memuktamadkan strategi, senarai akhir pelumba serta keperluan bajet ke temasya dwitahunan itu.
“Setakat ini PKBM membuat pemilihan awal melibatkan empat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), empat Malaysia Pro Cycling (MPC) dan seorang daripada pasukan kebangsaan. Keputusan akhir akan dibuat dan disahkan sebelum berunding dengan MSN bagi persiapan skuad ke arah Sukan SEA Thailand nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penutup Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia Ke-39 di Templer Park Country Club hari ini.
Isu bajet kembali menjadi tumpuan apabila dua pasukan profesional, TSG dan MPC, sebelum enggan melepaskan pelumba sekiranya bajet tambahan RM250,000 yang diminta tidak dipenuhi.
Namun MSN menegaskan tiada bajet tambahan akan disediakan kepada PKBM, sebaliknya hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan berjumlah RM196,000.