JASIN, 11 Februari- Program Pencarian Bakat (TID) bagi sukan angkat berat adalah inisiatif terbaik dalam mendedahkan sukan itu kepada murid di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Menurut Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah, setakat ini 30 murid berusia 8 hingga 16 tahun sudah mula
berlatih selepas terpilih dalam program tersebut.
Katanya, ia adalah langkah paling berkesan untuk melahirkan atlet di kalangan belia bagi mewakili negara ke temasya berprestij di masa akan datang.
"Jadi ini rentetan daripada beberapa atlet yang berminat datang sendiri untuk berlatih di pusat latihan Kesang Tua menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.
"Kita adakan program untuk mencapai satu sasaran Olimpik 2032 di Brisbane kita percaya dan dengan masa yang ada lebih kurang sembilan atau 10 tahun, kita dapat melahirkan atlet yang boleh bersaing di peringkat olimpik," katanya kepada pemberita selepas ditemui Program Pencarian Bakat Sukan Angkat Berat di Sekolah Kebangsaan Kesang Tua, Jasin , Melaka.
Jelas beliau, menerusi latihan yang dijalankan itu, terdapat beberapa murid berpotensi untuk menyertai sebarang kejohanan.
(Ahmad Janius Abdullah)