fb fb fb fb fb

Sandeep Lamichhane kembali beraksi, bebas dengan ikat jamin kes rogol

(Sandeep Lamichhane ketika ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa
Thribuwan pada 6 Oktober 2002 / REUTERS)

KATHMANDU, 11 Februari- Pemain kriket Nepal Sandeep Lamichhane, yang bebas dengan ikat jamin semasa menghadapi pertuduhan rogol, akan turun beraksi pada tiga siri Liga 2 Piala Dunia akan datang.

Berita itu diumumkan Persatuan Kriket Nepal.

Lamichhane dituduh merogol seorang gadis berusia 17 tahun di bilik hotel di Kathmandu Ogos tahun lalu.

Persatuan Kriket Nepal mendedahkan kemasukan pemain berusia 22 tahun itu dalam skuad untuk siri di laman sendiri bermula 14 hingga 21 Februari menentang Namibia dan Scotland dalam satu catatan di akaun Twitter rasminya.

Keputusan tersebut bagaimanapun sudah dijangka apalagi selepas badan itu menarik balik penggantungan bintang spin-bowler berkenaan awal bulan ini.

"Lembaga telah mengambil tindakan tatatertib terhadapnya dan menggantungnya. Keputusan baharu untuk menarik balik penggantungan itu akan membolehkannya beraksi," kata presiden Persatuan Kriket Nepal Chatur Bahadur Chand kepada AFP pada 1 Februari.

Sehari sebelum itu, peguam negara Nepal telah merayu keputusan untuk membebaskan Lamichhane dengan bon dua juta rupee (AS$15,400).

Pemain itu telah berada dalam tahanan sejak penahanannya pada 6 Oktober di lapangan terbang Kathmandu.

"Kami telah meminta Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan mahkamah tinggi untuk membebaskannya dengan ikat jamin," kata Sanjiv Raj Regmi, jurucakap di Pejabat Peguam Negara, kepada AFP pada masa itu.

"Seseorang yang dituduh melakukan sebarang kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara lebih daripada tiga tahun mesti kekal dalam tahanan."

Pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada September ketika dia bermain di Liga Perdana Caribbean.

Lamichhane, yang menegkalkan pengakuan tidak bersalah, telah digantung tugas sebagai kapten kriket Nepal selepas waran tangkap dikeluarkan.-AFP


(Sandeep Lamichhane / REUTERS)

Media Baharu