GEORGE TOWN, 1 Mei - Pasukan Penang FC menegur tindakan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) yang bersetuju memberikan lanjutan masa bagi kelab untuk Pelesenan Kelab Kitaran 2024-2025 bagi Lesen Kebangsaan.
Dalam satu kenyataan, Penang FC menegaskan, amalan melanjutkan tarikh akhir secara berulang adalah satu langkah ke belakang dan boleh menggalakkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan peraturan liga.
Pasukan tersebut turut menzahirkan kebimbangan serius bahawa kecenderungan memberi kelonggaran berulang kali bakal memberi kesan buruk kepada ekosistem bola sepak negara.
Sehubungan itu, mereka mendesak badan bebas berkenaan agar lebih menghargai kelab-kelab yang telah menunjukkan disiplin dan profesionalisme dengan mematuhi tarikh akhir tanpa gagal.
Malah, kelab itu menyifatkan lanjutan tarikh akhir sebagai 'tamparan hebat' yang mencalarkan prinsip kesaksamaan dalam saingan liga.
“Membenarkan kelab yang gagal memenuhi keperluan asas pelesenan untuk terus bertanding bukan sahaja mencetuskan ketidakseimbangan, malah menjejaskan kredibiliti Liga Malaysia (Liga-M) di mata umum.
Ia memberi isyarat yang salah bahawa komitmen dan pematuhan boleh dikompromi,” tegas kenyataan tersebut.
Penang FC merayu agar FIB mula mengangkat dan menghormati kelab-kelab yang berusaha keras mematuhi peraturan, demi memelihara maruah dan masa depan bola sepak Malaysia.