MIAMI, 1 Mei - Pelumba McLaren, Oscar Piastri bersedia mengekalkan momentum cemerlang menjelang pusingan perlumbaan F1 di Grand Prix (GP) Miami, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 24 tahun itu kini mendahului kejuaraan dunia dengan 99 mata, mengatasi rakan sepasukan Lando Norris 89 mata dan juara bertahan Max Verstappen dari Red Bull dengan 87 mata.
Selepas memenangi tiga daripada lima perlumbaan pertama musim ini, prestasi konsisten jentera McLaren MCL39 dan ketenangan Piastri di litar menjadikannya antara pencabar utama kejuaraan.
Bagaimanapun, cabaran getir menanti di Miami, litar jalan raya sempit dengan cuaca tropika yang mampu menguji ketahanan fizikal dan strategi pasukan.
Perlumbaan hujung minggu ini turut menampilkan aksi Sprint, dengan lapan mata maksimum ditawarkan berpotensi mengubah kedudukan kejuaraan.