(Foto AFP)
SYDNEY, 5 Oktober - Seorang peminat yang membuat tabik hormat Hitler semasa perlawanan bola sepak Liga Australia telah diharamkan seumur hidup daripada menghadiri sebarang perlawaman, dengan badan induk sukan itu berkata ia tidak bertolak ansur dengan "tingkah laku yang menyinggung".
Lelaki itu, yang tidak dinamakan secara terbuka, adalah antara sekumpulan penyokong yang dirakam kamera membuat gerak isyarat fasis dan dilaporkan melaungkan lagu Croatia sayap kanan.
Football Australia berkata seorang penonton telah dikenal pasti dan dikenakan larangan seumur hidup daripada mana-mana perlawanan kendaliannya, termasuk melibatkan pasukan kebangsaan, Liga-A dan Piala Australia.
"Tindakan yang dipersoalkan berkaitan dengan tabik hormat fasis atau gerak isyarat serupa yang dilakukan semasa perlawanan dan dirakam dalam siaran hos," kata badan induk itu, yang sebelum ini merujuk kepada "salam Hitler".
"Football Australia mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap tingkah laku tidak hormat dan menyinggung perasaan dalam acara yang dibenarkan dan tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku yang berpotensi menyinggung perasaan, menghina mengaibkan, memperlekeh atau memburukkan penonton, pemain atau pegawai."
Ia menambah bahawa siasatan sedang diteruskan untuk mengenal pasti individu lain. -AFP
(Foto Facebook Sydney United 58 FC)