MANCHESTER, 27 Disember- Pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe dilaporkan telah menghubungi para penyokong kelab berkenaan meminta agar mereka bersabar selepas bersetuju membeli sebahagian saham kelab berkenaan.
Baru-baru ini, Manchester United mengumumkan jutawan British itu bersetuju untuk membeli 25 peratus saham kelab bernilai AS$1.3 bilion dengan Ratcliffe berikrar bagi mengembalikan reputasi Manchester United sebagai salah sebuah kelab terbaik di dunia.
Kelab berkenaan dalam satu kenyataan pada Ahad turut mengumumkan INEOS, syarikat kimia kepunyaan Ratcliffe akan turut mengambil alih operasi kelab berkenaan daripada pemilik, keluarga Glazer yang memiliko majoriti saham di Old Trafford.
Ratcliffe, 71, telah menulis surat kepada beberapa kumpulan peminat, termasuk Yayasan Penyokong Manchester United, menegaskan INEOS berada dalam pelan jangka panjang, namun menekankan kejayaan di atas padang akan memerlukan masa dan kesabaran.
"Ia memerlukan masa dan kesabaran di samping ketelitian dan tahap pengurusan profesional tertinggi", kata Ratcliffe pada Selasa.
"Anda bercita-cita tinggi untuk Manchester United dan begitu juga kami. Tiada jaminan dalam sukan, dan perubahan tidak dapat dielakkan mengambil masa tetapi kami berada di dalamnya untuk jangka masa panjang dan bersama-sama mahu membantu membawa Manchester United kembali ke tempat teratas bola sepak Inggeris, Eropah dan dunia.
"Saya mengambil tanggungjawab tersebut dengan sangat serius."
Ratcliffe menambah dia tidak akan bercakap mengenai hal kelab tersebut sehingga perjanjian itu mendapat kelulusan kawal selia.
Untuk rekod, Manchester United telah pun tersingkir daripada Piala Liga dan Liga Juara-Juara musim ini selain tidak pernah menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kali terakhir dimenangi pada 2013 di bawah kendalian Pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.-AFP