THAILAND, 18 Disember - Ketahanan mental serta disiplin tinggi menjadi kunci kejayaan skuad memanah compound berpasukan lelaki negara apabila bangkit menewaskan tuan rumah Thailand untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025, hari ini.
Meskipun berdepan angin kencang yang mencabar tumpuan, trio Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki kekal konsisten sepanjang aksi akhir di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand sebelum mengesahkan kemenangan 232-228.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara berjaya memperbaiki pencapaian selepas sekadar meraih pingat perak pada edisi Sukan SEA 2021 di Hanoi.
Pasukan Thailand yang diwakili Sippakorn Kohkaew, Peerapat Pattanapongkiat dan Ratandanai Wongtana cuba memberi tentangan sengit, namun ketepatan dan ketenangan pemanah negara menjadi pemisah dalam perlawanan berintensiti tinggi itu.
Sementara itu, Vietnam meraih pingat gangsa acara berkenaan selepas menewaskan Indonesia dalam aksi penentuan tempat ketiga.