KUALA LUMPUR, 18 Disember - Liga Sukan Tradisional dijangka dilaksanakan bermula tahun hadapan sebagai usaha memastikan sukan rakyat terus dibudayakan secara berstruktur, kompetitif dan mampan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, liga berkenaan akan dianjurkan di peringkat negeri sebelum diperluaskan ke peringkat kebangsaan.
Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang menilai potensi untuk mengadaptasi sukan tradisional ke dalam bentuk digital atau e-sukan sebagai salah satu pendekatan strategik jangka panjang.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga meneroka pengintegrasian elemen sukan tradisional ke dalam ekosistem e-sukan, termasuk pembangunan kandungan digital, simulasi permainan serta penganjuran pertandingan hibrid fizikal dan digital.
“Kementerian menyambut baik cadangan integrasi elemen e-sukan dengan sukan tradisional sebagai pendekatan inovatif bagi meningkatkan daya tarikan, keterlibatan dan penyertaan belia secara lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Anna Bell dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Dalam pada itu, Mordi berkata kementerian turut komited meneruskan penganjuran Sukan Komuniti Luar Bandar di lokasi-lokasi bersesuaian di seluruh negara.
“Pada tahun 2025, program ini merangkumi penganjuran pelbagai acara sukan tradisional seperti sepak raga, bulatan, dam, gasing dan tarik tali, di samping sukan konvensional seperti sepak takraw, memanah, olahraga dan petong.
“Sejak penganjuran pada tahun 2024, program ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 15,000 orang, sekali gus menunjukkan minat dan sokongan yang masih kukuh terhadap sukan tradisional,” katanya.