KUALA LUMPUR, 18 Disember - Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selangkah lagi untuk mara ke pusingan separuh akhir kejohanan jelajah dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu pada aksi kedua Kumpulan B hari ini.
Juara dunia itu bermula goyah pada set pertama selepas tumpas 17-21, namun bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 21-14, 21-15.
Ini merupakan kemenangan kedua buat pasangan negara itu selepas menumpaskan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie semalam.
Tang Jie-Ee Wei akan bertemu Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping pada aksi terakhir Kumpulan A esok.
Turut merakam kemenangan hari ini adalah beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya meraih kemenangan kedua selepas menumpaskan pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada aksi kedua Kumpulan A.
Pearly-Thinaah yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Sea Thailand baru-baru ini tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit.
Pasangan negara itu akan bertemu Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi melengkapkan aksi peringkat Kumpulan A esok.-BERNAMA