fb fb fb fb fb

Nigeria dakwa DR Congo turunkan pemain tidak layak dalam play-off piala dunia

Foto Reuters

LAGOS, 18 Disember - Nigeria mengemukakan petisyen rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan mendakwa Republik Demokratik Congo (DR Congo) menurunkan pemain tidak layak dalam aksi play-off kelayakan Afrika bagi Piala Dunia tahun depan.

Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Nigeria (NFF) memaklumkan, DR Congo menewaskan Nigeria menerusi penentuan sepakan penalti bulan lalu, sekali gus mengekalkan peluang mereka untuk beraksi di kejohanan Piala Dunia di Amerika Utara, di mana enam pasukan akan merebut dua slot ke pusingan akhir Piala Dunia 48 pasukan.

NFF mendakwa beberapa pemain berkewarganegaraan dua telah dibenarkan beraksi untuk DR Congo tanpa memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Peraturan Congo menyatakan anda tidak boleh memiliki kewarganegaraan dua.

“Ramai daripada mereka memiliki pasport Eropah, ada yang pasport Perancis dan ada yang pasport Belanda," kata Setiausaha Agung NFF, Mohammed Sanusi kepada wartawan.

Menurutnya, FIFA meluluskan pemain terbabit berdasarkan peraturan badan induk itu sendiri, namun Nigeria mendakwa kelulusan tersebut dibuat berasaskan maklumat yang mengelirukan.

“Pendirian kami ialah FIFA telah diperdaya kerana ia bukan tanggungjawab FIFA untuk memastikan peraturan domestik Congo dipatuhi.

“Tetapi kami berpendapat perkara itu adalah satu penipuan,” katanya.

Bagaimanapun, Persekutuan bola sepak DR Congo menolak dakwaan tersebut.

“Jika tidak mampu menang di atas padang, jangan cuba menang melalui jalan belakang.

“Piala Dunia harus dimainkan dengan maruah dan keyakinan, bukan dengan helah guaman. Kami bersedia,” kata Fecofa menerusi satu hantaran di media sosial.

FIFA setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung petisyen tersebut.

Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.-REUTERS

AZRUL FAIZAL JUSOH