MANCHESTER, 18 Disember - Manchester City melangkah ke separuh akhir Piala Liga selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brentford dalam aksi suku akhir di Etihad Stadium, awal pagi tadi.
City bakal berdepan juara bertahan, Newcastle United yang turut mengesahkan slot separuh akhir selepas menewaskan Fulham 2-1 menerusi gol pada masa tambahan di St James’ Park.
Pengurus Pep Guardiola membuat tujuh perubahan dalam kesebelasan City yang menang 3-0 ke atas Crystal Palace pada Ahad, namun pasukannya tetap menguasai perlawanan dan tidak berdepan kesukaran besar untuk menundukkan Brentford.
Rayan Cherki memulakan jaringan tuan rumah pada minit ke-32 sebelum gol kedua terhasil pada minit ke-67 menerusi rembatan Savinho yang terkena pemain lawan Kristoffer Ajer, menyebabkan bola melambung melepasi penjaga gol.-REUTERS