BEVERLY HILLS, 18 Disember – Sepasang kasut Nike 'Grinch' yang pernah dipakai dan ditandatangani oleh legenda NBA, mendiang Kobe Bryant, kini menjadi tumpuan dunia dan akan dibawa ke dewan lelongan.
Kasut ini dijangka bakal mencipta rekod sejarah baharu dalam dunia koleksi sukan.
Kasut berwarna hijau terang yang sangat ikonik ini telah dipakai oleh Bryant ketika beliau beraksi bersama Los Angeles Lakers dalam perlawanan menentang Miami Heat pada Hari Krismas, 25 Disember 2010.
Sepanjang 20 tahun kariernya, Bryant hanya menyarung model ini sekali sahaja dalam perlawanan rasmi, menjadikannya barang koleksi yang sangat jarang ditemui.
Menurut rumah lelongan digital milik Pharrell Williams, Joopiter, kasut ini telah ditandatangani sendiri oleh Bryant.
Keunikan dan nilai sejarah yang ada pada kasut ini menjadikannya satu-satunya di dunia.
Caitlin Donovan, Ketua Jualan Global di Joopiter menjangkakan kasut ini akan terjual pada harga melebihi AS$10 juta (kira-kira RM44.5 juta).
"Sangat sukar untuk meletakkan nilai pada sesuatu yang mempunyai kepentingan besar dalam sejarah," kata Donovan.
"Kasut ini telah melangkaui sempadan koleksi sukan dan kini menjadi item harta budaya moden."
Bagi peminat dan pengumpul yang ingin melihat sendiri kasut bersejarah ini, ia kini dipamerkan secara eksklusif di Canon Collectibles, Beverly Hills, California sehingga Jumaat (19 Disember 2025).
Lelongan ini bukan sekadar mengenai sepasang kasut, tetapi merupakan penghormatan kepada legasi "Mamba Mentality" yang ditinggalkan oleh salah seorang pemain bola keranjang terhebat sepanjang zaman.-REUTERS