QUITO, 18 Disember - Pemain bola sepak kebangsaan Ecuador, Mario Pineida, disahkan maut selepas ditembak dalam satu serangan di bandar pelabuhan Guayaquil, menurut kenyataan kelabnya, Barcelona SC.
Dalam hantaran di platform X, kelab itu memaklumkan menerima pengesahan rasmi mengenai kematian pemain berusia 33 tahun itu susulan serangan berkenaan.
“Dukacita dengan rasa sedih yang mendalam, bahawa pihak kelab telah menerima secara rasmi mengenai kematian pemain kami, Mario Pineida, susulan satu serangan ke atasnya di Guayaquil," kata kenyataan berkenaan.
Kematian Pineida turut disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri Ecuador, yang memaklumkan sebuah unit polis khas telah ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut.
Laporan media tempatan menyebut Pineida diserang oleh dua individu menaiki motosikal, dengan tembakan dilepaskan ke arahnya serta beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.
Pineida 33, pernah mewakili Ecuador pada Piala Dunia 2018 dan 2022, selain beraksi bersama kelab Brazil, Fluminense, pada 2022.
Insiden itu berlaku ketika Guayaquil berdepan peningkatan keganasan berkaitan jenayah terancang dan pengedaran dadah, dengan beberapa pemain bola sepak di negara itu turut menjadi sasaran sejak kebelakangan ini.
September lalu, tiga pemain divisyen kedua Ecuador dilaporkan terbunuh, dengan salah seorang daripadanya didakwa mempunyai kaitan dengan pertaruhan sukan.
Sebulan kemudian, pemain tempatan Bryan Angula turut cedera dalam satu insiden tembakan.
Ecuador sebelum ini antara negara paling selamat di Amerika Latin, kini berdepan cabaran keselamatan serius, khususnya di Guayaquil yang mencatatkan 1,900 kes pembunuhan, jumlah tertinggi di negara itu sepanjang tahun ini.-AFP