fb fb fb fb fb

Pemain warisan akui tidak semak rekod keturunan, hanya berdasarkan maklumat lisan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 18 November -Tujuh pemain warisan mengakui tuntutan mereka mengenai asal-usul keturunan Malaysia secara amnya berdasarkan maklumat lisan bukan rekod yang disahkan, menurut alasan bertulis atau motivated decision setebal 63 muka surat yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Berdasarkan alasan bertulis itu, pemain menyatakan mereka tidak pernah membaca, menyemak atau dengan cara apa pun mengesahkan mana-mana dokumen yang mereka serahkan, sambil menekankan bahawa dokumen tersebut adalah sahih dan tidak diubah pada masa ia diserahkan kepada ejen masing-masing.

Jawatankuasa Rayuan FIFA memaklumkan pemain berhujah sebarang pengubahsuaian berlaku selepas dokumen itu diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysias (FAM) dan tanpa pengetahuan atau penglibatan mereka.

“Kecuali seorang pemain (Gabriel Felipe Arrocha), yang menyerahkan sendiri dokumen dan tidak mengemukakan salinan dalam prosiding, pemain lain mengemukakan tangkap layar dan perbualan WhatsApp bersama ejen mereka sebagai bukti.

“Dokumen ini menunjukkan sijil kelahiran datuk dan nenek mereka, namun tiada satu pun yang menyenaraikan tempat lahir di Malaysia (atau wilayahnya),” menurut kenyataan itu.

Semasa sesi pendengaran pada 30 Okt lepas, kesemua pemain memaklumkan bahawa ejen adalah sumber peluang untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan keseluruhan proses, termasuk penyerahan dokumen serta langkah-langkah birokrasi untuk naturalisasi, diurus sepenuhnya oleh FAM dan ejen masing-masing.

“Kesemua mereka mengesahkan bahawa dokumen diperlukan iaitu sijil kelahiran mereka serta sijil kelahiran ibu bapa dan datuk nenek mereka, diperoleh ahli keluarga dan kemudian diserahkan kepada pemain, yang seterusnya menyerahkannya kepada ejen atau rakan masing-masing tanpa sebarang semakan lanjut,” tambahnya.

Menurut panel itu, pemain turut mengakui menandatangani dokumen permohonan dan hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, namun menafikan mereka telah membaca atau memahami kandungan dokumen ditandatangani, sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan yang mereka tidak fasih.

Sementara itu, Jawatankuasa Rayuan FIFA memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA setelah meneliti semua bahan tersedia dalam prosiding rayuan mendedahkan hukuman lebih berat boleh dikenakan terhadap kesemua perayu.

Menurut jawatankuasa rayuan itu, sekiranya bukan kerana prinsip non reformatio in pejus di bawah Perkara 63.4 Kod Disiplin FIFA (FDC), mereka bersedia untuk mengenakan hukuman lebih berat daripada sebelumnya.

Ini kerana jawatankuasa berpendapat prosiding rayuan ini telah mendedahkan banyak aspek penting tentang tingkah laku pemain, khususnya berkaitan kecuaian mereka menandatangani dokumen tanpa membaca dan gagal mengesahkan rekod keturunan sendiri dalam pelbagai perkara serta sikap pemain yang berterusan mendakwa datuk nenek mereka dilahirkan di Malaysia walaupun bukti menunjukkan sebaliknya.

Jawatankuasa itu juga tidak berpuas hati dengan penggantungan Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) yang didapati kurang jelas, tidak dikuatkuasakan dan kurang kredibiliti.

Pada 3 Nov lepas, FIFA menolah rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000), dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.-BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH