KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski menekankan kepentingan pemain tempatan dalam perancangan jangka panjangnya bersama pasukan Harimau Malaya.
Pengendali kelahiran Australia berusia 46 tahun itu berkata beliau tidak membezakan antara pemain tempatan atau luar negara, sebaliknya hanya akan memilih pemain terbaik untuk mewakili negara.
“Ya, sudah tentu (pemain tempatan penting dalam perancangan jangka panjang saya), namun pada masa sama saya tidak membezakan antara pemain tempatan atau sebaliknya. Mereka semua pemain Malaysia. Sama ada mereka bermain di sini atau di luar negara, itu tidak penting bagi saya. Saya akan pilih barisan pemain terbaik pada masa itu.
“Saya pernah memberitahu anda bahawa saya percaya kepada pemain muda, pemain Malaysia, tidak kira sama ada mereka bermain dalam Liga Super, Piala MFL (Liga Bolasepak Malaysia) atau di luar negara, mereka tetap pemain Malaysia. Itu mentaliti saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang pasukan ranking ke-72 dunia Cape Verde, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Cklamovski menurunkan tujuh pemain tempatan dalam kesebelasan utama, iaitu satu perkara yang jarang berlaku sejak skuad kebangsaan mula bergantung kepada pemain warisan dan naturalisasi.
Bagaimanapun, pemain naturalisasi Paulo Josue muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-79 bagi mengelak kekalahan kepada Cape Verde yang membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi Sidny Lopes Cabral.
Tujuh pemain tempatan yang diturunkan dalam kesebelasan utama ialah penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor, pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi dan Mohamad Faisal Abdul Halim serta penyerang Muhammad Safawi Rasid.
Baru-baru ini, isu kebergantungan kepada pemain warisan dan naturalisasi kembali menjadi perhatian dalam kalangan pemerhati dan legenda bola sepak negara.
Sementara itu, Cklamovski memuji persembahan pemain warisan kelahiran Sepanyol Gabriel Palmero yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dengan aksi meyakinkan walaupun masih baharu dalam pasukan.
“Dia beraksi dengan baik, bukan mudah untuk bermain menentang lawan seperti itu. Mereka bertaraf dunia. Dia mempamerkan aksi individu yang baik, tetapi lebih penting, dia menyumbang kepada persembahan berpasukan yang mantap dan saya harap itu membanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana dia juga seorang rakyat Malaysia,” katanya.
Skuad bimbingan Cklamovski sekali lagi akan menentang Cape Verde dalam satu aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun ini.
Siri perlawanan persahabatan menentang Cape Verde ini adalah sebahagian daripada persiapan Malaysia menghadapi perlawanan penting menentang Vietnam pada aksi kedua Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun.
Malaysia dan Vietnam kini berkongsi kedudukan teratas kumpulan dengan masing-masing mengutip tiga mata selepas memenangi perlawanan pertama.
“Kami akan menjalani proses pemulihan yang baik sebelum mula membuat persiapan menghadapi perlawanan pada 3 Jun, satu lagi perlawanan penting untuk menguji taktikal dan kekuatan fizikal sebelum meneruskan persiapan bagi aksi menentang Vietnam,” katanya.- BERNAMA