fb fb fb fb fb

"Pemain-pemain saya sudah bersedia" - Brad Maloney

(GAMBAR FAIL)


PETALING JAYA, 11 Februari- Ketua Jurulatih skuad Negara, Brad Maloney memberi kayakinan penuh terhadap kesediaan pasukannya menjelang kempen Piala AFF Bawah 23 Tahun 2022 di Kemboja yang bermula 14 Februari ini.

Menurutnya, barisan pemain menunjukkan prestasi yang baik dalam beberapa aksi persahabatan termasuk mengikat juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur City FC satu sama pada pertemuan semalam.

"Kami juga mengadakan perlawanan tertutup beberapa hari lalu untuk memberi peluang kepada semua pemain, selain menuntut mereka memberikan aksi terbaik dalam tempoh persiapan yang singkat ini,

"Bagi saya mereka berjaya membuktikannya di atas padang, namun masih ada perkara perlu diperbaiki sebelum perlawanan pertama dalam masa empat hari. Tapi buat masa sekarang saya berpuas hati dengan apa ditampilkan semua pemain," jelasnya selepas perlawanan skuad Bawah 23 tahun menentang KL City di Kompleks PKNS.

Pasukan irtu berjaya memperoleh gol menerusi Zharmien Ashraf, manakala gol KL City pula dijaringkan pemain import, Giancarlo Gallifuoco.

Siang tadi, seramai 28 pemain skuad Bawah 23 tahun negara telah tiba di Phnom Penh, Kemboja.

Skuad kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen dengan menentang Myanmar di Stadium Prince, pada 15 Februari.

Sementara itu, laluan Malaysia dalam saingan kumpulan B dilihat menjadi sedikit mudah apabila Indonesia disahkan menarik diri.

Ini selepas pasukan dari negara jiran itu berdepan krisis Covid-19 dan kecederaan pemain.

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkata, skuad Garuda itu menarik diri selepas 7 pemainnya disahkan positif Covid-19 manakala 4 pemain lagi terpaksa menjalani kuarantin.

Indonesia turut berdepan masalah kecederaan tiga pemain utama, sekali gus menyaksikan mereka tidak memiliki skuad yang lengkap untuk menyertai kempen kali ini.

Malaysia pada awalnya dijadual bertemu Indonesia pada 21 Februari ini di Stadium Nasional Morodok Techo.

Media Baharu