FOTO AFP
LONDON, 11 Februari- Liverpool kembali mengejar dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana Inggeris selepas menang 2-0 ke atas Leicester di Anfield awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan The Reds kini mengurangkan jarak kepada 9 mata di belakang pendahulu, Manchester City dengan kelebihan satu perlawanan.
Pada aksi tersebut, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meletakkan Mohamed Salah di bangku simpanan bagi memberikannya rehat selepas menjalankan tugas bersama skuad kebangsaan Mesir dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika.
Manakala Sadio Mane pula tidak diturunkan kerana masih bersama skuad kebangsaan Senegal yang menjuarai kempen tersebut.
Ketiadaan dua pemain itu memberi peluang kepada Diego Jota untuk menyerlah dengan meledak 2 gol pada minit ke-34 dan 87, sekali gus menghadiahkan 3 mata penting buat The Reds.
Penyerang Portugal itu telah mengutip 17 gol dalam kempen musim ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan Liverpool kekal di tangga kedua dengan 51 mata, 4 mata mengatasi Chelsea di tangga ketiga. -AFP