KUALA LUMPUR, 27 Julai - Pemain kriket negara Syazrul Ezat Idrus mempamerkan aksi hebat dalam arena kriket antarabangsa dengan muncul sebagai pemain pertama di dunia mencapai tujuh wiket dalam format perlawanan Twenty20 International (T20I), semalam.
Pemain berusia 32 tahun itu beraksi cemerlang untuk membantu Malaysia memperoleh kemenangan bergaya ke atas China dengan kelebihan lapan wiket dalam perlawanan pembukaan Kelayakan Rantau Asia B Piala Dunia Lelaki T20 2024, di Klang kira-kira 35 kilometer dari sini.
Menurut laman sesawang Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), walaupun 12 pemain sebelum ini mencapai enam wiket, tiada seorang pun berjaya memecahkannya dalam satu “inning” (giliran sesebuah pasukan membuat pukulan) sehingga Syazrul Ezat melakukan tujuh wiket untuk lapan larian.
Sebelum ini duo pasukan India Deepak Chahar dan Yuzvendra Chahal, pembaling putar Australia Ashton Agar dan Sri Lanka Ajantha Mendis merupakan antara pemain yang berjaya melakukan enam wiket.
(Pemain kriket negara Syazrul Ezat Idrus mencapai tujuh wiket dalam format perlawanan Twenty20 International (T20I)/FOTO Malaysian Cricket Association)
Syazrul Ezat yang melakukan 47 wiket pada 23 perlawanan dalam kerjaya T201nya, kemudian diberikan penghormatan sebagai pemain terbaik perlawanan.
“Dia yang menggunakan balingan tangan kanannya membolosi barisan pemukul China di Bayuemas seorang diri, mengumpul tujuh wiket daripada tujuh balingan dengan pasukan pelawat tersingkir selepas hanya membuat 23 larian daripada 12 over,” kata ICC.
Sementara itu, Pavandeep Singh melakukan dua wiket sementara S. Vijay Unni menyumbang satu wiket untuk Malaysia mengatasi China.
Pasukan Malaysia yang kemudiannya mula mengejar hanya memerlukan 24 larian untuk menang, bermula perlahan selepas ketinggalan dua wiket dengan hanya tiga larian.
Bagaimanapun, Virandeep Singh berjaya bertindak balas pantas dengan 19 larian, dengan satu pukulan “six” dan dua “four” untuk menamatkan permainan dengan 4.5 over.
Tuan rumah Malaysia akan bertemu Bhutan esok, diikuti perlawanan menentang Myanmar (Ahad) dan Thailand (Selasa) dengan hanya juara akan mara ke Final Rantau Asia di Nepal pada November.
Dua pasukan teratas di Nepal akan mendapat tiket ke Piala Dunia T20 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat dan Hindia Barat tahun depan. - BERNAMA