ALOR SETAR, 20 Jun- Pemain skuad kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022 musim ini.
Pemain yang beraksi di posisi tengah itu akan turun bersama pasukan pada saingan Piala AFC di Bali, Indonesia bermula 24 Jun ini.
KDA FC dalam kenyataan lewat malam tadi memaklumkan pemain yang membantu Jordan layak ke Piala Asia 2023 itu tiba di Malaysia semalam dan akan bersama-sama rakan sepasukan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bali, Indonesia, tengah hari ini.
Sebelum ini Mahmoud pernah beraksi bersama kelab Al-Muharraq yang menjuarai Piala AFC 2021 dimana Mahmoud menjaringkan gol pembukaan perlawanan tersebut.
Sebelum ke Kedah, pemain kelahiran Aqaba, Jordan berusia 28 tahun ini beraksi bersama pasukan Salavan Real Estage.
(Foto FB KDA FC)
Mahmoud merupakan pemain kebangsaan Jordan sejak tahun 2014 dan baru-baru ini turut membantu pasukan Jordan layak ke Piala Asia 2023.
Beliau akan memakai jersi bernombor 10 bersama skuad Sang Kenari.
Kehadiran Mahmoud diharap dapat memperkuatkan jentera tengah pasukan yang dilihat sedikit pincang dalam mengawal permainan dan mengatur serangan.
Dalam pada itu, Kedah yang diundi dalam Kumpulan G, Piala AFC dijadual berdepan kelab dari Indonesia, Bali United pada 24 Jun, diikuti Kaya FC dan Visakha FC masing-masing pada 27 dan 30 Jun.
Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Capt I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.