KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Ketua jurulatih skuad remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim mahu anak buahnya memperbaiki kelemahan mengekang pukulan sudut penalti pasukan lawan menjelang aksi pembukaan bertemu Australia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) ke-10, minggu depan.
Beliau berkata dalam aksi persahabatan menentang pasukan dari Oceania itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam, menyaksikan skuad negara tumpas 1-4, kesemua gol pasukan lawan adalah menerusi pukulan sudut penalti.
Muhammad Amin mengakui kualiti permainan anak buahnya masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kuasa besar dalam sukan hoki itu.
“Apapun, saya puji pemain sebab seperti semua sedia maklum hanya empat pemain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa. Mereka kembali bangkit pada suku ketiga dan keempat (terakhir) untuk memberi saingan.
“Tetapi, kalau tengok empat gol dari Australia, semua daripada pukulan sudut penalti, jadi saya kena kaji kembali video untuk perbaiki kelemahan pemain, dan mereka (pemain) kena cepat menyesuaikan diri sebab hari ini kita masih ada perlawanan persahabatan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Empat pemain Piala Dunia Hoki Remaja 2021 ialah Muhammad Amirul Haniff Mamat, Alfarico Lance Liau Jr, Muhammad Syawal Abd Razak dan Muhammad Faris Harizan.
Pada aksi hari ini, Cambell Geddes meletakkan Australia di hadapan seawal minit kelapan, sebelum David Hubbard menggandakan jaringan empat minit kemudian, sebelum Cooper Burns meledak jaringan pada minit ke-18.
Australia terus garang melakukan serangan bertali-arus dan berjaya menyumbat gol keempat menerusi Geddes pada minit ke-51, sebelum Malaysia menjaringkan gol sagu hati melalui jaringan padang Muhammad Hazreeq Alief Rosli pada minit ke-55.
(Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara / FOTO FB MalaysianHockeyConfederation)
Skuad muda negara bakal berdepan satu lagi aksi pemanas badan menentang Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
SOJC ke-10 berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober ini di Johor Bahru.
Selepas aksi pembukaan menentang Australia pada (23 Oktober), Malaysia akan menentang Afrika Selatan (25 Oktober), Great Britain (26 Oktober) dan Jepun pada 28 Oktober.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjuarai edisi pertama SOJC pada 2011. -BERNAMA