KUALA LUMPUR, 21 Januari - Pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum menghantar Azreen Nabila Alias untuk berlatih di luar negara.
Demikian reaksi Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil mengenai cadangan untuk menghantar jaguh pecut wanita negara itu berlatih di luar negara.
Jelas beliau, perbincangan menyeluruh perlu dilakukan dalam kalangan jurulatih bagi memastikan Azreen betul-betul bersedia dengan corak dan modul latihan di luar negara.
"Faktor-faktor kesediaan dia kerana di luar negara tu saya dapati terdapat persaingan yang sengit, adakah dia dapat menyesuaikan diri untuk mengadaptasinya di sana dan sebagainya, itu semua diambil kira, dari segi mental dan fizikal.
"Jadi saya rasa itu satu peluang yang baik, bagaimanapun perbincangan yang lebih terperinci perlu diadakan untuk menentukan Azreen dapat pergi ke luar negara untuk membolehkan prestasinya terus meningkat, " kata beliau secara eksklusif kepada Berita RTM di sini.
Azreen mencatat masa peribadi terbaik dalam pusingan kelayakan acara 100 meter Temasya Olimpik Tokyo dengan catatan masa 11.77 saat sekaligus menamatkan saingan di tempat kedua.
Beliau bagaimanapun terkandas pada pusingan pertama kejohanan selepas mencatat masa 11.91 saat.
Sementara itu, Manshahar juga meminta peminat bersifat realistik untuk melihat Azreen menghadiahkan kilauan pingat acara pecut 100 meter dalam Sukan Sea Vietnam akan datang.