fb fb fb fb fb

Hasrat Zii Jia tinggalkan BAM ada pro dan kontra


KUALA LUMPUR, 20 Januari - Hasrat pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional ada pro dan kontranya.

Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berpendapat semua pihak perlu memberi peluang kepada Zii Jia dan menghormati hasratnya 'melebarkan sayap' secara profesional.

Roslin tidak menolak kemungkinan Zii Jia berdepan pelbagai halangan dalam aspek fasiliti latihan dan rakan sepelatihan (sparring) yang sesuai jika meninggalkan BAM.

Namun, beliau percaya pemain berusia 24 tahun dari Kedah itu mampu mencari jalan untuk mencapai kemuncak prestasinya.

Roslin percaya, hanya juara Seluruh England 2021 itu yang tahu cara untuk meningkatkan tahap prestasinya.

"Pilihannya ketika ini ialah untuk bebas daripada segala tekanan dengan bergerak secara solo."

Roslin dalam pada itu berpendapat, BAM akan kerugian jika melepaskan pemain nombor 7 dunia tersebut.

“Walaupun kita tahu Zii Jia apabila beliau bermain secara profesional pun tetap mewakili negara tetapi bagi pihak BAM itu, ia amat merugikanlah,” katanya.

“Sebenarnya ini adalah satu kerugian kepada BAM kerana seperti kita tahu, selepas Datuk Lee Chong Wei, sekarang ini kita ada Zii Jia.

“Walaupun kita ada pemain-pemain baharu yang sedang meningkat naik seperti Ng Tze Yong, tetapi Tze Yong masih jauh lagi perjalanannya.

“Zii Jia pun sebenarnya masih jauh lagi langkahnya, cuma agak merugikan bagi pihak BAM kerana melepaskan pemain perseorangan utama negara," ujar beliau.

Roslin juga berkata, sukar meramalkan calon jurulatih yang sesuai untuk membimbing Zii Jia.

Antara nama yang disebut-sebut ialah ketua jurulatih Singapura, Mulyo Handoyo dan bekas pemain kebangsaan, Ong Ewe Hock.

Ketika ini muncul spekulasi bahawa Zii Jia akan menyertai pemain nombor 2 dunia, Victor Axelsen dari Denmark menjalani latihan di Dubai.

 

Media Baharu