fb fb fb fb fb

Pearly-Thinaah cipta sejarah beregu wanita pertama juara Terbuka Perancis

(Gandingan Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah apabila muncul beregu wanita pertama
negara menjuarai saingan Terbuka Perancis di Paris/FOTO FB BAM)


KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sejarah dalam menamatkan kemarau kejuaraan selepas mengungguli kejohanan badminton Terbuka Perancis yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertine di Paris, pada malam Ahad.

Kejayaan menumbangkan pilihan keempat yang juga juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15 di pentas akhir itu, menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis.

Kemenangan itu ialah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lepas.

Aksi yang berlanjutan hingga 72 minit itu ialah pertemuan pertama kedua-dua pasangan.

Pada set pertama, Pearly-Thinaah yang bermula perlahan berjaya bangkit dengan menampilkan aksi berkeyakinan untuk terus mendahului perlawanan hingga 18-10, namun berdepan detik cemas apabila dikejar 20-19 sebelum berjaya meraih mata kemenangan.

Momentum positif itu gagal diteruskan dalam set kedua meskipun mereka berusaha gigih menandingi kehebatan Matsumoto-Nagahara yang lebih ‘ghairah’ dan cemerlang memenangi setiap mata sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Selepas tunduk di set kedua, Pearly-Thinaah bermula perlahan di set ketiga apabila ketinggalan 2-6, namun bangkit tampil lebih cekap, bermotivasi serta kurang melakukan kesilapan untuk mendominasi perlawanan bermula di kedudukan 8-7 sehingga menoktahkan kemenangan dengan kelebihan enam mata.

Sebelum ini, bekas beregu wanita negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul naib juara Terbuka Perancis pada 2008.

(Kejuaraan di Paris kali ini adalah gelaran kedua buat Pearly-Thinaah dalam Jelajah Dunia BWF
selepas menjuarai Terbuka Switzerland, tahun lalu/FOTO FB BAM)


Terbuka Perancis ialah kejohanan acara Jelajah Dunia Super 750 BWF, kejohanan tahap tiga yang menawarkan hadiah bernilai US$49,950 (kira-kira RM235,000) bagi pemenang acara beregu dan US$23,625 (kira-kira RM111,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF.

Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark muncul juara perseorangan lelaki selepas mengatasi rakan senegara Rasmus Gemke 21-14, 21-15.-BERNAMA

 

Media Baharu