PARIS, 30 Oktober-Pasangan beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M.Thinaah terus mencipta sensasi apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Badminton Terbuka Perancis.
Mereka mempamerkan aksi cukup meyakinkan untuk membenam pasangan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dengan 21-13, 21-17.
Ia merupakan pertemuan pertama Pearly-Thinaah dengan pasangan baharu dari Jepun itu.
So Hee, bersama regunya sebelum ini Shin Seung Chan, merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2021, dan mencapai ranking sebagai pasangan nombor dua dunia.
(M.Thinaah-Pearly Tan / Foto BWF)
Esok, pasangan negara yang berada di kedudukan ke-11 dunia, akan berhadapan dengan pasangan nombor tujuh dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara juga dari Jepun.
Sebelum ini Pearly-Thinaah mengejutkan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama dengan 15-21, 21-14, 21-14 dalam saingan peringkat suku akhir pada Jumaat.
Kejayaan terbesar mereka dalam siri Jelajah BWF adalah memenangi Terbuka Switzerland 2021 dan kejohanan Super 300 pada bulan Mac tahun lepas.